USM PULAU PINANG, 9 Mei 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang (88 Captains) berkolaborasi dalam Program Apprenticeship, Internship, Reskill & Upskilling (AIRU), yang berperanan dalam memupuk bakat kepimpinan pada pelajar-pelajar terpilih yang mendapat biasiswa 88 Captains, serta pembangunan bakat pelajar dalam sektor industri Elektrik dan Elektronik (E&E) melalui program MOHE Research Industry-Infused Incubator atau lebih dikenali sebagai MRI3.
Majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti USM dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow.
Hadir sama ke majlis penuh bermakna itu ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengerusi Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Ooi Eng Hock; Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Dato’ Seri Wong Siew Hai; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Jaringan Industri USM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil; dan pemain-pemain industri yang berkaitan.
Program AIRU adalah usahasama di antara USM dan 88 Captains dalam membangunkan “industry-ready talents” menerusi pemerkasaan program MRI3 bersama 11 pemain industri yang bernaung di bawah 88 Captains, meningkatkan kemahiran tenaga kerja semasa (“upskilling and reskilling”) serta pembangunan bakat kepimpinan mahasiswa-mahasiswi.
Turut dilancarkan ialah Intangible Asset Commercialisation and Strategy Association (IACSA) yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan cara Malaysia menguruskan aset terbesarnya seperti jenama, paten, pengetahuan, reka bentuk, hak cipta, data, rahsia perdagangan, pengetahuan tradisional, ungkapan dan idea yang dimasukkan ke dalam bentuk material. Ia juga bertujuan untuk memastikan aset tersebut tidak hanya dilindungi, tetapi dikomersialkan.
Sejak MoU yang dimeterai pada November 2022 bersama USM, sehingga kini seramai 13 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada biasiswa 88 Captains.
Teks: Rebecal Armugam, pelajar praktikal Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe